Jumaat, 13 Februari 2009

Nabi Ibrahim Bukan Yahudi

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
http://www.utusan.com.my/utusan/

SEBAGAI kaum yang licik, Yahudi gemar mengelirukan sejarah supaya segala kebenaran kononnya memihak kepada mereka. Mereka turut menjadikan sirah para nabi sebagai mangsa penipuan dan memutarbelitkan fakta. Sebagaimana pelbagai tanggapan yang mereka lemparkan terhadap Nabi Muhammad SAW, sejarah Nabi Ibrahim a.s. terlebih dahulu mereka kelirukan.

Ini apabila sejarah Nabi Ibrahim yang mendapat julukan Khalil Ullah (Sahabat Allah) itu dianggap penting sebagai titik mula bagaimana mereka kononnya menjadi bangsa atau entiti terpilih oleh Allah. Dikenali sebagai Patriakh Abraham yang merupakan migran Nabi Ibrahim ke tanah air Yahudi, iaitu Canaan (atau Kanaan yang dipercayai dikenali sebagai Palestin kini) dari Ur Chaldea (Harran dipercayai terletak di Turki).

Dalam kitab Perjanjian Lama (Taurat dan Injil) kononnya diceritakan mengenai Nabi Ibrahim telah diangkat oleh Yahudi sebagai nabi mereka, telah diminta oleh Allah untuk meninggalkan tempat asal baginda (Mesopotamia Lama) menuju ke suatu tempat yang tidak pasti bagi memulakan masyarakat baru di sana.

Ketika dalam perjalanan mereka menuju ke Tanah Terpilih (Chosen Land) itu, Abram (sebelum dikenali sebagai Abraham) bersama isterinya, Siti Sarah singgah dan tinggal sementara di Harran sehinggalah mereka akhirnya tiba di Kanaan. Ini sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Tuhan bahawa Kanaan menjadi pilihan dan anugerah buat Ibrahim yang dikatakan membawa agama Yahudi itu.

'Sejarah' ini dijadikan bukti oleh Yahudi bahawa mereka mempunyai hak terhadap bumi Palestin kerana pada asalnya nabi mereka, merupakan orang pertama yang menemui Palestin itu. Malah sanggup merampas daripada penduduk Islam Palestin dengan alasan sebagai bangsa yang terpilih, tuhan memilihkan bumi Palestin itu sebagai milik kepada Yahudi sahaja. Inilah yang cuba dilakukan oleh Yahudi itu sehingga kini.

Kekejaman selama 22 hari baru-baru ini dengan membunuh penduduk Palestin dan memusnahkan bumi Gaza adalah bukti usaha yang tidak pernah putus mereka dengan berdalilkan pada faktor 'sejarah' Nabi Ibrahim itu.

Sedangkan 'sejarah' itu ternyata antara rekaan yang paling jahat Yahudi kerana terbukti melalui ayat 67-68 dalam surah Ali 'Imran, Allah berfirman yang bermaksud: Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi menyerahkan diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia dari golongan yang musyrik. Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim adalah mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta orang-orang yang beriman kepada Muhammad dan Allah adalah pelindung semua mereka yang beriman.

Begitupun Nabi Ibrahim bin Aaazar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rau' bin Falij bin Aaabir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh a.s. benar-benar Sahabat Allah apabila banyak pengorbanan dilakukan olehnya bagi menegakkan kebenaran dan menegakkan agama Allah.

Sedari Raja Namrud memerintahkan agar Ibrahim dibakar hidup-hidup dan kemuncaknya terpaksa meninggalkan Siti Hajar dan bayi mereka, Nabi Allah Ismail di sebuah lembah yang sangat tandus. Namun hikmah di sebaliknya, meninggalkan isteri dan anaknya itu dan penemuan telaga Zam Zam benar-benar membuka lembaran sejarah dengan bermulanya komuniti pertama di bumi Mekah itu.

Malah diceritakan air Zam Zam itu menyebabkan burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu. Sehingga menjadi perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Mekah. Menerusi pengalaman mereka, jika terdapat burung-burung yang berterbangan di udara bermakna unggas tersebut berlegar di kawasan yang terdapat sumber air.

Setelah diperiksa mereka begitu gembira kerana terdapatnya telaga Zam Zam dan kehadiran Siti Hajar serta Nabi Ismail itu sendiri. Mereka segera berpindah dan meminta kebenaran Siti Hajar untuk menetap bersama di lembah itu. Tentu sahaja permintaan itu diterima oleh Siti Hajar kerana beliau kini mempunyai jiran-jiran setelah sekian masa hanya tinggal berdua bersama puteranya itu.

Puak Jurhum menurut buku Sirah Nabawiyyah ini hanya disebut sebagai penduduk pribumi Mekah yang terdiri daripada pelbagai kabilah. Namun dalam peristiwa penemuan telaga Zam Zam ini, generasi Jurhum yang tinggal bersama Siti Hajar merupakan generasi yang ketiga berasal kabilah dari negeri Yaman. Mereka sebelum ini hidup berpindah randah di sekitar lembah-lembah Mekah.

Sejak itu, Lembah Mekah berubah wajah dengan mempunyai kelompok komuniti yang tidak sahaja memulakan kehidupan 'bandar' malah sampai ke pengetahuan Nabi Ibrahim yang ketika itu berada di Palestin. Baginda yang kehairanan dengan perkhabaran itu lalu memutuskan untuk melihat sendiri, lebih-lebih lagi mengenangkan nasib Siti Hajar dan putera mereka yang pernah ditinggalkan di Lembah itu.

Alangkah terkejut baginda melihatkan perbezaan ketara berbanding ketika meninggalkan Siti Hajar dahulu. Malah melihatkan Nabi Ismail yang dapat membesar dengan baik menyebabkan Nabi Ibrahim menyedari Allah telah membayar nilai pengorbanan tinggi beliau setelah sanggup meninggalkan anak dan isterinya itu.

Setelah beberapa kali mengunjungi Siti Hajar dan Nabi Ismail pada suatu hari ketika si anak masih kanak-kanak atau sesetengah riwayat menyebut Ismail ketika itu sudah menginjak remaja, Nabi Ibrahim didatangi mimpi daripada Allah supaya baginda menyembelih satu-satunya anaknya itu. Walaupun mimpi itu bermakna satu perintah yang wajib dipatuhi namun sebagaimana manusia biasa yang lainnya, Nabi Ibrahim tidak dapat menyembunyikan kesedihan yang teramat sangat dengan mimpi itu.

Dikorbankan

Kelahiran Nabi Ismail merupakan putera yang diharap-harapkan oleh Nabi Ibrahim sejak berpuluh tahun lamanya dan tiba-tiba kini perlu dikorbankan di tangannya sendiri.Namun Ibrahim perlu membuktikan bahawa cinta baginda kepada Allah perlu melebihi cinta terhadap anak, isteri, harta dan dunia ini. Sebagai nabi atau pesuruh Allah baginda perlu melakukan pengorbanan besar ini supaya dijadikan contoh teladan sebagai hamba-Nya yang taat.Namun menyembelih anak dengan tangannya sendiri, sesungguhnya teramat berat. Lalu baginda menyuarakan kepada Ismail mengenai mimpinya itu dan tanpa diduga anaknya itu seolah-olah seperti tahu apa yang sedang berperang dalam fikiran bapanya itu.Dipendekkan cerita, pedang yang tajam tiba-tiba bertukar tumpul ketika Nabi Ibrahim hendak menyembelih leher anaknya itu, malah Ismail bertindak menukar posisi badannya agar wajahnya tidak dilihat oleh ayahnya supaya beliau dapat disembelih kerana bimbang bapanya sebenarnya tidak sampai hati melakukan perintah dari Allah itu.Namun sekali lagi, Nabi Ibrahim berjaya melepasi satu lagi ujian dengan Allah menukarkan Nabi Ismail kepada seekor kambing kibas sebagai menebus pengorbanan yang cuba dilakukan oleh hamba-Nya yang taat dan patuh pada suruhan Allah itu.Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat Allah yang menegaskan bahawa perintah pergorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail akan sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Peristiwa ini kemudiannya menjadi sunah kepada setiap umat Islam supaya melakukan ibadat korban tiap kali melakukan ibadat Haji dan sambutan Hari Raya Aidiladha.Nabi Ismail kemudiannya membesar dan baginda turut mempelajari bahasa Arab dari kabilah Jurhum. Baginda kemudiannya dikahwinkan dengan seorang wanita daripada kabilah itu.Diceritakan dalam buku ini mengenai kisah Nabi Ibrahim mengunjungi anaknya itu berikutan selepas kemangkatan isterinya Siti Hajar. Ketika sampai, Ismail tiada di rumah lalu tanpa dikenali oleh isteri Ismail, Ibrahim bertanyakan kepada menantunya mengenai kehidupan mereka. Lalu si isteri mengadu bermacam-macam kesusahan dan kesempitan hidup mereka.Lalu ketika bertemu dengan Nabi Ismail, Nabi Ibrahim berpesan supaya anaknya itu menukar ambang pintu rumahnya itu. Ismail yang mengerti maksud bapanya itu lalu menceraikan isterinya dan berkahwin lain dengan puteri Ketua Kabilah Jurhum, Mudah bin Amru.Pada ketika yang lain, Ibrahim yang datang semula lalu bertanya kepada menantu yang baru mengenai kehidupan mereka semasa ketiadaan Nabi Ismail. Lalu si menantu memuji Allah atas apa yang mereka miliki. Nabi Ibrahim begitu berpuas hati dan meminta Ismail supaya tidak perlu menukar ambang pintu rumahnya itu.Ismail tersenyum kerana mengerti dan hasil perkahwinan baginda dengan isteri keduanya itu, mereka dikurniakan anak lelaki seramai 12 orang. Iaitu nama-nama seperti yang pernah disebutkan sebelum ini, Nabit atau Binalut, Qaydar, Adbail, Mibsham, Mishma, Duma, Misha, Hadah, Yatma, Yatur, Nafis dan Qaydum.